MADRID, 25 DIS – Empat orang maut selepas sebuah bas terjunam ke sungai ketika merentasi sebuah jambatan di barat laut wilayah Galicia, Sepanyol, menurut pegawai hari ini.
Kemalangan berlaku malam kelmarin berhampiran Vigo dan bersempadan dengan Portugal. Akhbar La Voz de Galicia melaporkan bas tersebut membawa penumpang yang melawat ahli keluarga di penjara Monterroso, tengah Galicia.
Perkhidmatan kecemasan berkata dua mayat telah ditemui sementara dua lagi, termasuk pemandu bas, berjaya diselamatkan dan telah dibawa ke hospital. Polis Sepanyol kemudian berkata dua lagi mayat ditemui hari ini, satu daripadanya mayat wanita, manakala seorang lagi mangsa lelaki masih belum ditemui.
“Berkemungkinan lebih ramai penumpang di dalam bas itu,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan melalui Twitter dan memuat naik gambar kenderaan yang dimasuki air.
Operasi menyelamat terpaksa ditangguhkan semalam disebabkan cuaca buruk namun disambung semula awal hari ini.
Kemalangan berlaku ‘di kawasan curam,’ membuatkannya sukar untuk diakses, kata jurucakap polis di bandar Pontevedra, kira-kira 30 kilometer daripada kawasan kemalangan.
Polis berkata pemandu bas itu telah menjalani ujian alkohol namun keputusannya negatif.- AFP


