BEIJING, 23 MEI – Sekurang-kurangnya empat orang terkorban, manakala 17 lagi masih terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Guizhou, barat daya China hari ini, menurut laporan media kerajaan, dengan pasukan penyelamat bergelut sampai ke lokasi kejadian di kawasan pergunungan yang sukar diakses.
“Angka kematian akibat kejadian tanah runtuh di Wilayah Guizhou, barat daya China, kelmarin telah meningkat kepada empat, manakala 17 orang masih terperangkap,” lapor agensi berita Xinhua yang memetik kenyataan kerajaan wilayah itu.
Dua kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di daerah Dafang dalam dua insiden berasingan – yang pertama berlaku sekitar jam 3 pagi dan satu lagi pada jam 9 pagi, menurut penyiar rasmi CCTV.
“Dua kejadian tanah runtuh berasingan melanda kawasan perkampungan Changshi dan Guowa dalam daerah Dafang, di bawah pentadbiran bandar Bijie, menyebabkan dua dan 19 orang masing-masing terperangkap,” menurut laporan Xinhua. Rakaman dari udara yang disiarkan menunjukkan sebuah kampung ditenggelami lumpur tebal berwarna coklat yang melitupi kawasan tanaman dan mengalir ke kaki bukit berhutan lebat.
Wilayah Guizhou telah mengaktifkan Tindak Balas Kecemasan Tahap II bagi bencana geologi dan Kementerian Sumber Asli China menghantar pasukan ke lokasi untuk memantau serta memimpin operasi menyelamat. Kementerian Pengurusan Kecemasan menggesa pasukan penyelamat berusaha sedaya upaya menyelamatkan mangsa yang masih hilang.
Namun begitu, kementerian menyatakan kawasan tersebut merupakan wilayah yang tinggi dan curam, menjadikan usaha menyelamat amat mencabar dan sukar dilaksanakan. – AFP
