Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat terlibat sabung ayam didenda $700

    Oleh Rafidah Jumat

     

    pg06_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Perbuatan dua lelaki tempatan dan dua warga Filipina mengeksploitasi ayam sabung bagi tujuan perjudian mengundang padah apabila dijatuhi hukuman denda $700 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

    Ismail bin Haji Jaluddin, 46, mengaku bersalah di hadapan Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid atas tuduhan bermain judi sabung ayam dengan membuat taruhan $50.

    Sementara Hermogenes Cabutero Nerier, 56, Armando Valdez Mendoza, 47, dan Masli bin Jaya, 59, masing-masing juga mengaku salah memiliki ayam sabung dan taji untuk menyabung ayam.

    Kesemua tertuduh melakukan kesalahan itu di kawasan Berek Bandaran, Kampung Sungai Akar pada 1 Jun 2014.

    Jika gagal membayar denda itu, Majistret Dewi memerintahkan kesemua tertuduh untuk menjalani hukuman penjara selama tiga minggu.

    Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota polis yang diketuai Unit Jenayah Berat membuat serbuan di kawasan tersebut sekitar jam 5:30 petang dan mendapati sekumpulan lelaki berhimpun di kawasan terbuka.

    Menyedari kehadiran polis, mereka cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.

    Polis merampas 21 ekor ayam sabung, wang tunai $5,017 dan enam taji yang digunakan untuk menyabung ayam.

    Ismail didakwa di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka, Penggal 28 manakala tiga yang lain didakwa mengikut Seksyen 8(1) Akta Rumah Judi Terbuka, Penggal 28 yang memperuntukkan hukuman denda $10,000 dan enam bulan penjara.

    Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ratno Eddy Sophian bin Haji Zaidi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda