Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Tiga orang termasuk seorang wartawan Borneo Bulletin telah terpilih untuk menyertai Program Jemputan ACH 2018 bagi Program Fans ASEAN Hallyu (Korea Wave) bermula 26 Oktober lalu hingga 2 November ini di Seoul, Busan dan Gyeongju.
Dayang Nurul Hafizah binti Haji Awang yang merupakan wartawan Borneo Bulletin bersama Pengiran Mohd Shahreen bin Pengiran Metassan dan Florence Loh telah berlepas ke Korea pada 25 Oktober lalu.
Menurut kenyataan yang diberikan, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha bertersuan Korea Foundation (KF) untuk meningkatkan persefahaman dan memperkukuhkan persahabatan antara rakyat Korea dan negara-negara anggota ASEAN.
Ia juga membolehkan peserta merasakan sendiri pengalaman penuh serta mendekati Korea secara peribadi.
Antara pengisian program termasuk lawatan ke pelbagai lokasi seperti Istana Gyeongbokgung, Kampung Budaya Gamcheon, Kuil Bulguksa, MBC World dan banyak lagi diikuti dengan Festival K-POP (Festival Busan One Asia) serta pelbagai aktiviti lainnya.
Kedutaan Besar Republik Korea di Negara Brunei Darussalam dalam kenyataannya berharap para peserta akan dapat berkongsi pengalaman mereka di Korea dengan rakan-rakan di negara ini.
