Saturday, July 12, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Empat usahawan belia ceburi bidang tukang gunting

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Empat orang belia muda telah tampil ke hadapan untuk menyahut cabaran dengan menceburi kerjaya tukang gunting serta keusahawanan apabila mereka membuka Kedai Gunting BarberKu di Ruang Letak Kereta VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang dirasmikan, hari ini.

    Para belia berkenaan merupakan bekas pelatih Program Singkat Kursus Kemahiran Street Art Haircut di Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian kedai berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid@Sabli bin Haji Arsad dan Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii; Setiausaha Tetap (Pentadbiran,Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Setiausaha Tetap (Pengurusan Strategi dan Dasar) di KKBS, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) di KKBS, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said serta para jemputan.

    Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh pemilik bersama Kedai BarberKu, Awang ‘Abdul Rauf bin Haji Ismail.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin ketika melihat lebih dekat operasi di kedai gunting, Barberku yang diusahakan oleh empat belia tempatan semasa perasmian kedai tersebut di Ruang Letak Kereta VIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa menghadiri majlis perasmian Kedai Gunting BarberKu, yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.

    Seterusnya, majlis diikuti dengan perasmian yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan penyampaian grant Program Singkat Kursus Kemahiran Street Art Haircut, Tukang Gunting Lelaki, PPB.

    Pengusaha bersama Kedai Gunting Barberku terdiri daripada Awang Mateen, Awang Khai, Awang Shah dan Awang Rauf yang merupakan penerima Bantuan Micro Grant di bawah KKBS.

    Awang Mateen bagi mewakili rakan-rakannya menyatakan penghargaan kepada KKBS atas peluang dan sokongan yang diberikan kepada mereka dalam merealisasikan pembukaan kedai gunting berkenaan.

    Peluang dan sokongan yang diberikan, jelasnya, menunjukkan komitmen KKBS dalam memberikan platform kepada para belia untuk membuka lembaran baharu dan bergiat aktif dalam bidang keusahawanan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

    “Ilmu dan pengalaman yang diperoleh oleh kami akan sentiasa dijadikan asas dalam menjalankan serta memajukan kedai BarberKu,” ujar beliau.

    Beliau turut menyatakan bahawa peluang yang disediakan itu, membuktikan bahawa kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memang prihatin kepada anak tempatan untuk mencari rezeki.

    BarberKu berhasrat untuk mempelopori peluang bidang perusahaan penggayaan rambut, kumis dan jambang kepada masyarakat dan mereka percaya terdapat ruang untuk mengembangkan industri ini dengan mengutamakan pengusaha-pengusaha belia tempatan.

    Di samping itu, untuk memberi contoh dan inspirasi kepada belia-belia tempatan lain dengan kejayaan dalam industri penampilan dan penggayaan rambut lelaki.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda