Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Seramai empat orang warga tempatan terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki telah ditahan oleh pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dalam satu operasi sepadu bersama Daerah Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang dijalankan baru-baru ini.
Operasi bersepadu berkenaan melibatkan seramai 33 anggota dari kedua-dua agensi penguat kuasa dan telah dijalankan di beberapa buah rumah sekitar kawasan Perpindahan Kampung Rataie dan Kampung Bokok, Temburong.
Hasil pemeriksaan mendapati para suspek disyaki memiliki beberapa barang tegahan di bawah Perintah Kastam, antaranya 11 karton dan sembilan paket rokok pelbagai jenama, 28 unit vape pelbagai jenis serta dua unit telefon bimbit.
Kesemua suspek dan barang bukti telah dibawa dan ditahan oleh pihak JKED bagi siasatan serta tindakan lanjut mengikut perundangan yang berkuat kuasa.
Pihak PPDB bersama JKED berharap operasi sedemikian dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan mematuhi undang-undang di Negara Brunei Darussalam.
Orang ramai turut disarankan agar menjadi mata dan telinga kepada agensi penguat kuasa dengan menyalurkan maklumat yang berguna demi membanteras kegiatan jenayah secara berkesan.