Isteri kepada pengacara Datuk AC Mizal iaitu Datin Emylia Rosnaida tidak lagi berminat untuk kembali aktif dalam dunia lakonan kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga.
Menurut Emylia, 49, keputusan untuk mengundur diri daripada dunia seni dibuat atas kerelaan sendiri selepas berkahwin dan bergelar ibu.
Menurut laporan mStar, “Saya fikir kalau dua-dua aktif dalam industri, masa kami tak cukup. Saya hantar anak-anak sekolah sendiri dari mereka kecil sampai besar”.
“Sekarang saya uruskan suami pun tak cukup masa, kalau berlakon macam mana nak jaga anak dan emak yang duduk dengan kami?,” ujarnya.
“Jadi saya buat keputusan untuk tidak berlakon lagi… saya korbankan untuk keluarga,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, kata Emylia, walaupun pernah menerima beberapa tawaran berlakon selepas berkahwin, dia memilih untuk menolaknya kerana tidak lagi mempunyai minat dalam bidang tersebut
“Saya tiada perasaan untuk berlakon balik, dah puas rasa masa muda dulu.
“Kalau ada yang panggil pun saya akan tolak, memang ada sahaja tawaran… tapi saya tak terima,” ujarnya.
Jelas Emylia, kali terakhir dia muncul di layar perak adalah menerusi filem Anak Mami The Movie, sebelum mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia lakonan.
Kini, Emylia lebih selesa bekerja di belakang tabir sebagai pengurus kepada suaminya.
“Kerja sebagai pengurus lebih seronok bagi saya. Tak perlu nak bersiap selalu, tak payah nak bermekap tebal atau kejar masa macam pelakon lain,” jelasnya. – Agensi


