BANGKOK, 25 APRIL – Enam anggota polis maut apabila pesawat kecil yang mereka naiki terhempas ke laut semasa latihan payung terjun berhampiran kawasan peranginan di Cha-am, di selatan ibu kota Bangkok, pagi tadi.
Nahas berlaku sekitar jam 8 pagi di perairan wilayah Prachuap Khiri Khan, terletak kira-kira 130 kilometer barat daya Bangkok.
Menurut jurucakap polis, Mejar Jeneral Archayon Kraithong, berkata lima pegawai maut di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital, menurut kenyataan rasmi Polis Diraja Thailand di Facebook.
Pihak berkuasa kini sedang menganalisis data kotak hitam pesawat bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Media tempatan melaporkan pesawat itu terhempas kira-kira 100 meter dari pantai daerah Cha-am yang terkenal sebagai destinasi percutian hujung minggu.
Rakaman yang dikongsi di media sosial memaparkan pesawat itu berpusing di udara sebelum menjunam ke laut, manakala orang awam dilihat meredah air untuk membantu operasi menyelamat.
Ketua Polis Negara, Jeneral Kitrat Phanphet, memberi jaminan bahawa siasatan penuh akan dijalankan berhubung insiden itu.
Ketua Polis Negara, Jeneral Kitrat Phanphet mengarahkan supaya sokongan penuh diberikan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mengarahkan pengebumian penuh penghormatan bagi menghargai pengorbanan anggota.
“Polis Diraja Thailand merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga enam anggota yang terkorban.
“Mereka terkorban semasa menjalankan tugas demi negara,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP
