Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enam banduan dibebaskan dari Penjara Labuan

    LABUAN, 19 APRIL – Enam banduan beragama Islam hari ini dibebaskan dari Penjara Labuan di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL), Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti).

    Timbalan Pengarah Pusat Koreksional Labuan, Supt. Richard Robin berkata seorang daripada enam banduan yang dibebaskan itu berasal dari Sipitang, Sabah, manakala lima yang lain adalah warga Labuan.

    Beliau berkata, mereka adalah antara lebih 1,000 banduan di seluruh negara yang terpilih bagi pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) bermula hari ini.

    Katanya, kesemua enam banduan yang dibebaskan itu disambut isteri, anak dan saudara-mara masing-masing.

    “Pelepasan OBB itu bertujuan memberi peluang kepada mereka menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta sekali gus mengeratkan semula hubungan kekeluargaan.

    “Kesemua mereka dijadual dibebaskan bulan depan dan dua bulan lagi, dan mereka telah menunjukkan kelakuan baik serta patuh sepenuhnya dengan program pemulihan sepanjang dalam tahanan,” katanya kepada pemberita selepas pembebasan banduan terbabit di Penjara Labuan di Jalan Bukit Timbalai di sini hari ini.

    Richard berkata, pembebasan OBB juga bertujuan mengurangkan jumlah pengulang laku jenayah dan kesesakan di penjara. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda