Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enam buah buku baharu dilancar

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Dalam kemeriahan suasana Pesta Buku Brunei 2024, Pusat Sejarah Brunei (PSB) juga tidak ketinggalan untuk memperkenalkan enam buah terbitan baharu, yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, baru-baru ini.

    Antara buku terbitan berkenaan ialah Perlembagaan Negeri Brunei 1959: Dalam Ristaan; buku Syair Kisah Negeri Brunei; buku Datuk Rumbai; Buku Mewarna Sejarah 1; Jurnal Darussalam Bilangan 23 dan majalah Pusaka Bilangan 55.

    Buku tersebut telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, semasa majlis perasmian pesta tersebut yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Buku Perlembagaan Negeri Brunei 1959: Dalam Ristaan merupakan buku mewah pertama terbitan PSB yang ditulis oleh Dayang Salina binti Haji Jaafar.

    Buku tersebut merangkumi perjalanan yang ditempuh Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dalam memperjuangkan perlembagaan dan kerajaan Negara Brunei Darussalam hingga mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi semasa menyaksikan koleksi terbitan terbaharu Pusat Sejarah Brunei, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PSB
    GAMBAR SERAHAN PSB

    Manakala buku Syair Kisah Negeri Brunei merupakan sebuah buku transliterasi daripada tulisan Jawi kepada Rumi yang dikaji dan disusun oleh Profesor Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah. Buku itu adalah sebuah karya sastera tradisional bernuansa moden di mana ia merungkai peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku semasa pemerintahan Sultan Brunei ke-28, Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien (1950–1967).

    Sementara itu, buku Datuk Rumbai pula merupakan hasil penulisan Dayang Rabi’atul’adawiyah binti Haji Suhaili yang menceritakan tentang seorang penduduk Kampung Tanah Jambu bernama Datuk Rumbai yang mempunyai sikap rendah hati dan sentiasa menolong penduduk kampung dalam menyelesaikan masalah. Keperibadian Datuk Rumbai ini menjadi ristaan lisan turun-temurun oleh penduduk Kampung Tanah Jambu sehingga ke hari ini.

    Buku Mewarna Sejarah 1 pula merupakan buku mewarna pertama terbitan jabatan tersebut yang memuatkan 10 ilustrasi mengenai sejarah penemuan dan kewujudan awal Kesultanan Brunei yang diasaskan oleh Awang Alak Betatar atau Sultan Muhammad Shah, Sultan Brunei yang pertama.

    Bagi Jurnal Darussalam Bilangan 23 pula memuatkan tujuh artikel, antaranya ialah Sejarah Hubungan Kesultanan Brunei dengan Kesultanan Melayu Perak Darul Ridzuan: Era Kolonialisme British; Aspek Keadilan dalam Sistem Pemerintahan Kesultanan Melayu Tradisional; dan Haji Wan Sulaiman Al-Fathani: Pendakwah Islam yang Berkunjung ke Brunei pada Abad ke-19.

    Majalah Pusaka Bilangan 55 memuatkan penulisan sejarah bersumberkan bahan kajian dan hasil penyelidikan serta dokumentasi yang diungkayahkan oleh pegawai dan kakitangan PSB antaranya Membangun Rumah Melayu Brunei Kampong Ayer, Makam-Makam di Pulau Penyengat, Batu Nisan Daeng Pendeta, dan Kampung Subok.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda