Terlibat pergaduhan jalan raya pada 30 Ogos lalu, penyanyi Hafiz Suip mengakui kejadian itu berlaku disebabkan dia terlalu mengikut emosi sehingga bertindak di luar kawalan.
Menceritakan punca pergaduhan itu, Haz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 34, berkata ia disebabkan lelaki berkenaan menyembur pemedih mata ke arahnya sehingga keadaan menjadi tegang.
“Cerita sebenarnya saya memang mengakui ia adalah kerana terlalu emosi di mana biasalah bila kita berada di atas jalan dan berlakunya provokasi.
“Saya rasa dia emosi juga. Pada waktu itu sedang berlaku kesesakan jalan raya. Semua orang nak balik kerja. Dia keluar kereta sahaja terus spray. Itu yang menyebabkan saya jadi melenting dan terkejut.
“Waktu itu, lelaki tersebut menggunakan pepper spray, itu yang saya rasa sangat pedih.
Bayangkan kita makan cili tergosok mata pun pedih, jadi cuba fikir apabila semburan itu tepat kena pada bahagian mata,” katanya kepada mStar.
Haz berkongsi perkara itu ketika ditemui di Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-39 (SFMM39) yang diadakan di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, semalam.
Dalam pada itu, Hafiz memberitahu dia bersyukur kerana kes tersebut dapat diselesaikan dengan baik dan sudah memohon maaf kepada individu terbabit.
Malah, dia kini sedang menjalani hukuman bon berkelakuan baik selama enam bulan.
“Saya akui salah saya juga, saya sudah pun minta maaf dengan individu terbabit. Alhamdulillah semuanya sudah diselesaikan dengan baik.
“Sebenarnya perkara (kes gaduh) itu sudah selesai. Apa yang saya boleh katakan, sekarang ini saya berada dalam bon iaitu hukuman paling ringan bagi kesalahan tertentu.
“Saya perlu berkelakuan baik selama enam bulan. Sekarang ini baru dua bulan, jadi saya kena jadi budak baik. Saya tak boleh terkait dengan segala kes keganasan dan sebagainya,” ujarnya. – Agensi