Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enam bulan perang ragut 9,000 nyawa

    KAHERAH, 16 OKT – Enam bulan peperangan antara tentera Sudan dan kumpulan berkuasa separa tentera telah meragut nyawa sehingga 9,000 orang dan menyebabkan ‘mimpi ngeri kemanusiaan terburuk dalam sejarah baru-baru ini’, kata ketua bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

    Keadaan huru-hara di Sudan sejak pertengahan April, apabila ketegangan yang berterusan antara ketua tentera, Jeneral Abdel-Fattah Burhan dan komander Pasukan Sokongan Pantas separa tentera, Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, tercetus menjadi peperangan terbuka.

    “Selama enam bulan, orang awam terus menjadi mangsa pertumpahan darah dan keganasan,” kata Naib Ketua Setiausaha Agung PBB, Martin Griffiths, dalam satu kenyataan sempena ulang tahun peperangan yang ke enam bulan. Laporan yang mengerikan mengenai rogol dan keganasan seksual terus muncul.

    Pertempuran awalnya berpusat di Khartoum, tetapi dengan cepat merebak ke kawasan lain di seluruh negara Afrika Timur itu, termasuk wilayah Darfur yang sudah hancur akibat konflik.

    Griffiths berkata pertempuran itu dilaporkan membunuh sehingga 9,000 dan memaksa berjuta-juta orang keluar dari rumah mereka, sama ada ke kawasan yang lebih selamat di dalam Sudan atau di negara jiran.

    Beliau berkata konflik tersebut menyebabkan ‘komuniti terpisah. Orang terdedah tanpa akses kepada bantuan untuk menyelamatkan nyawa. Keperluan kemanusiaan meningkat di negara-negara jiran di mana jutaan orang telah melarikan diri’.

    Menurut agensi migrasi PBB, lebih 4.5 juta orang kehilangan tempat tinggal di dalam Sudan, manakala lebih 1.2 juta yang lain mencari perlindungan di negara jiran.

    Pertempuran itu juga menyebabkan 25 juta orang, lebih separuh daripada penduduk negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan, kata Griffiths. – AP

    Rakyat Sudan Selatan yang melarikan diri dan duduk di luar klinik pemakanan di pusat transit di Renk pada 16 Mei. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda