SYDNEY, 19 JULAI – Enam orang dibawa ke hospital di Australia hari ini selepas perlanggaran antara tujuh buah kenderaan, termasuk treler yang membawa kereta kebal tentera Amerika Syarikat (AS) yang akan digunakan dalam latihan perang.
Tiga daripada enam mangsa disyaki mengalami kecederaan tulang belakang, kata polis selepas kemalangan di Lebuhraya Bruce, utara Brisbane pagi ini.
Polis berkata mereka tiba dan mendapati tiga daripada kenderaan itu terbakar dan empat lagi ‘rosak teruk’.
Kereta kebal Abrams sepatutnya mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan utama dikenali sebagai ‘Talisman Sabre’, yang bermula pada Sabtu dan akan menyaksikan 30,000 anggota tentera dari Australia, AS dan negara lain mengadakan satu siri latihan tembakan langsung. – AP
