KOTA KINABALU, 20 MAC – Enam individu termasuk seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan membantu kumpulan jenayah terancang ‘Geng Upik’ antara 2015 hingga 2023.
Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng menjatuhkan hukuman itu ke atas Fazrul Bahar, 42, Norsyafilah Pawawoi, 28, Shahlan Shah Abdul Samad, 38, Alkan Abraham, 36, Mohd Fauzie Rablin, 34, dan Mazlan Mahmud, 49, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif itu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun itu ditawarkan selepas surat representasi kesemua mereka diterima pihak pendakwaan dan mahkamah memerintahkan pertuduhan asal iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di bawah Seksyen 130V(1) kanun sama digugurkan.
Lim memerintahkan Norsyafilah dipenjara tiga tahun bermula dari tarikh dituduh iaitu pada 1 Mac 2024 sementara bagi tertuduh lain hukuman bermula pada 25 Disember 2023 iaitu tarikh tangkap.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail, Siti Hajar Mat Radzi dan Nur Ainaa Ridzwan manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Shahlan Jufri, Sylyester Kuan, Luke Ressa Balang dan Michelle R Usman.
Mahkamah turut menetapkan 19 Mei ini bagi sebutan semula kes lima lagi tertuduh iaitu Datuk Maslan Sani, 41, Nelson Yen Yee Chung, 46, Zulkahar Dusing, 38, Rahman Burijin, 44, dan Jaisalfian Jaineh @ Zaini, 45. – Bernama
