ZAGREB, 2 OGOS – Polis Croatia melancarkan memburu suspek satu kes pembunuhan selepas enam mangsa ditemui maut, dengan beberapa kesan tembakan di sebuah rumah di sini, semalam.
Agensi berita Hina melaporkan, pegawai polis menemui mayat berkenaan di sebuah rumah di kawasan kejiranan di bandar itu, selepas dimaklumkan jiran mangsa, yang mendengar beberapa bunyi tembakan dilepaskan.
“Pihak polis menemui enam mayat di daerah Kajzerica di New Zagreb,” kata Hina yang memetik sumber polis.
Namun, jurucakap polis gagal dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu. Menurut Hina, hasil siasatan awal mendapati, kesemua mangsa dipercayai ditembak mati menggunakan senjata api, tetapi tidak mendedahkan umur atau identiti mangsa.
Berikutan itu, polis mengawal kawasan bandar terbabit bagi mengesan suspek. – AFP