COLOMBO, 20 FEB – Sebuah kereta api pe-numpang Sri Lanka tergelincir hari ini selepas melanggar sekawan gajah, tanpa mengakibatkan kecederaan kepada penumpang akan tetapi enam ekor gajah telah terbunuh dalam kemalangan melibatkan hidupan liar di pulau itu, kata polis.
Kereta api ekspres tersebut sedang dalam perjalanan berhampiran rizab hidupan liar di Habarana, kira-kira 180 kilometer timur ibu kota Colombo, apabila ia melanggar sekawan gajah yang melintasi garisan landasan kereta api sebelum subuh.
“Kereta api itu tergelincir, tetapi tiada kemalangan jiwa dalam kalangan penumpang,” kata polis sambil menambah pihak berkuasa hidupan liar sedang merawat dua ekor gajah yang terselamat dalam nahas itu.
Siaran video selepas kemalangan itu menunjukkan gajah yang mengalami kecederaan terbaring di sebelah landasan.
Membunuh atau mencederakan gajah adalah satu kesalahan jenayah di Sri Lanka, yang mana mempunyai anggaran 7,000 gajah liar, dengan haiwan itu dianggap sebagai khazanah negara, sebahagiannya disebabkan kepentingannya dalam budaya Buddha.
Dua anak gajah dan ibu yang bunting maut dalam kemalangan serupa akibat kereta api di kawasan yang sama pada September 2018. – AFP
