JAKARTA, 21 MAC – Enam jemaah umrah dari Indonesia maut, manakala 14 lagi cedera dalam kemalangan bas di jalan Madinah-Mekah, Arab Saudi kelmarin, menurut Kementerian Luar Indonesia.
Pengarah Perlindungan Warganegara kementerian itu, Judha Nugraha berkata bahawa kejadian berlaku pada 1:30 petang waktu tempatan di Wadi Qudeid, kira-kira 150 kilometer dari Jeddah.
“Berdasarkan laporan awal, bas itu terlibat dalam perlanggaran, kemudian terbalik lalu terbakar,” katanya dalam satu kenyataan.
Konsulat Jeneral Indonesia di Jeddah segera dimaklumkan mengenai insiden terbabit dan menghantar pasukan dari Unit Perlindungan Warganegara Indonesia ke lokasi kejadian.
Para pegawai kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Arab Saudi, hospital, pengendali pelancongan, Kementerian Haji, Muassasah dan syarikat bas bagi menilai situasi serta memberikan bantuan sewajarnya.
“Kementerian Luar turut bekerjasama dengan Kementerian Agama dan agensi umrah bagi mendapatkan maklumat lengkap mengenai jemaah Indonesia yang terlibat serta keluarga mereka di tanah air,” kata Judha.
Mangsa yang cedera dibawa ke hospital di Arab Saudi untuk menerima rawatan, manakala keluarga mereka telah dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Kerajaan Indonesia menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga enam mangsa yang terkorban serta memberi jaminan bahawa sokongan akan terus diberikan kepada mereka yang sedang menerima rawatan,” katanya. – Bernama
