ADDIS ABABA, 26 JUN – Hampir enam juta keldai disembelih setiap tahun untuk tujuan perubatan Cina, dengan kesan buruk yang besar terhadap penduduk kampung Afrika yang bergantung kepada haiwan tersebut, menurut sebuah badan kebajikan yang berpusat di United Kingdom (UK) hari ini.
Permintaan itu didorong oleh peningkatan pengeluaran ejiao di China — satu produk yang dipasarkan sebagai suplemen kesihatan yang menggunakan kolagen daripada kulit keldai — yang merupakan industri bernilai AS$6.8 bilion, menurut firma penyelidikan Qianzhan yang berpangkalan di China.
Populasi keldai di China telah merosot daripada 11 juta pada tahun 1992 kepada 1.5 juta pada tahun 2023, menyebabkan China berpaling ke Afrika untuk memenuhi permintaannya.
Dengan populasi keldai yang semakin berkurangan, Kesatuan Afrika mengisytiharkan moratorium selama 15 tahun ke atas penyembelihan keldai tahun lalu.
Badan kebajikan The Donkey Sanctuary yang berpangkalan di UK berkata, “industri ejiao menggerakkan perdagangan besar-besaran kulit keldai di seluruh dunia, sebahagiannya secara haram.”

Ia melaporkan sekitar 5.9 juta keldai dibunuh di seluruh dunia pada tahun lalu.
Perdagangan ejiao dijangka memerlukan sekurang-kurangnya 6.8 juta kulit keldai menjelang 2027.
Nilai keldai yang meningkat menyebabkan haiwan itu menjadi sasaran jenayah.
“Pedagang mengeksploitasi golongan rentan dengan menggunakan rangkaian ejen yang besar dan canggih untuk memaksa pemilik keldai menjual haiwan mereka,” kata badan kebajikan itu.
“Rangkaian haram beroperasi di seluruh benua, sering tanpa dikenakan tindakan, mencuri dan menyembelih keldai secara rahsia,” tambahnya.
“Keldai mati dalam keadaan yang sering tidak terkawal, tidak berperikemanusiaan dan tidak bersih, dengan banyak yang mati dalam perjalanan ke rumah sembelihan,” jelasnya lagi.
Kesan kepada manusia terutama dirasai oleh wanita dan kanak-kanak yang bergantung kepada keldai untuk aktiviti pertanian seperti membajak dan mengangkut barang ke pasar.
Operasi jenayah itu juga membawa risiko kesihatan, menurut The Donkey Sanctuary.
“Pengangkutan kulit yang tidak dirawat dan pembuangan bangkai keldai secara tidak betul berisiko mencetuskan penyebaran penyakit berjangkit dan merosakkan ekosistem tempatan.” – AFP

