Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Tidak ada kes jangkitan COVID-19 dilaporkan sembuh hari ini, menjadikan jumlah kes sembuh kekal seramai 215 orang dengan enam kes aktif sedang dirawat.
Di samping itu, tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan dan jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kekal pada 224 orang. Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei 2020 iaitu 358 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah 83 kes.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, mengenai situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam setakat pukul 12 tengah hari, seramai 427 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah seramai 17,446 orang.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 269 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 120,570 ujian.
Dalam pada itu, jumlah rakyat dan penduduk negara ini yang telah diinokulasi dos pertama dan kedua ialah 14,126 orang setakat 28 April, dengan 10,974 di Daerah Brunei dan Muara, 1,240 di Daerah Belait, 1,304 di Daerah Tutong dan 608 orang di Daerah Temburong.