Sunday, March 23, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enam kesalahan dicatat, 21 kompaun

    Oleh Yusrin Junaidi –

    TUTONG, 15 NOV – Enam kesalahan lalu lintas dicatat dengan 21 kompaun dikenakan hasil pemeriksaan 130 buah kereta dalam operasi sepadu yang telah dikendalikan oleh Balai Polis Lamunin di kawasan berdekatan simpang tiga Kampung Luagan Timbaran Tutong, kelmarin.

    Ia merupakan operasi bersama antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) Daerah Tutong, yang melibatkan keanggotaan Balai Polis Lamunin, dan agensi-agensi penguatkuasaan lain iaitu Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN).

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan PPDB, sepanjang operasi dari pukul 8:30 pagi hingga 10:45 pagi itu, antara kesalahan yang telah didapati adalah memakai pelekat plastik filem atau tabir, lesen memandu mansuh, tayar nampak benang dan insurans mansuh.

    Sementara itu, JPD telah mengeluarkan 13 kompaun atas lima kesalahan bagi kenderaan berat seperti lori dan trak.

    JKED pula menahan lima individu untuk siasatan lanjut atas kesalahan memiliki rokok dan vape, manakala itu, Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah mendapati dua kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 iaitu mengambil dadah terkawal.

    PPDB mengharapkan operasi bersama seperti itu akan meningkatkan lagi kerjasama bersama pihak-pihak berkepentingan dan masyarakat secara amnya, agar dapat memupuk sikap bersama menanai tanggungjawab dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam dengan mematuhi undang-undang negara ini.

    Anggota polis dan pegawai penguat kuasa undang-undang menjalankan pemeriksaan semasa operasi berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PPDB
    GAMBAR SERAHAN PPDB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda