BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Enam kesalahan telah dikesan semasa Operasi Siaga 273/2024 dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Buruh di kawasan Kampung Kiulap pada 7 Disember lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh, pemeriksaan yang dijalankan ke atas kegiatan menjual pelbagai alat-alat komputer dan aksesori telah mendapati kesalahan bawah Perintah Pekerjaan 2009, yang dilakukan oleh majikan kepada pekerja-pekerja tempatan dan asing iaitu Bab 10 pekerja tidak disediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis dengan majikan, Bab 39(1) gaji pekerja dibayar kurang daripada jumlah yang tertulis di kontrak perkhidmatan, Bab 44 membuat pemotongan gaji yang bertentangan dengan Perintah Pekerjaan 2009.
Selain itu kesalahan lain yang dikesan ialah Bab 64 pekerja yang bekerja pada hari kelepasan awam tidak digantikan dengan hari lain atau dibayar dua kali ganda, Bab 71(1) majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar mengikut kelayakan pekerja menurut Perintah Pekerjaan 2009 dan Bab 72, gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.
Bagi kesalahan melanggar Perintah Pekerjaan 2009, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan.
Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh turut mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan 2009, seperti gaji dibayar selaras dengan jumlah dalam kontrak perkhidmatan, gaji bagi kerja lebih masa dibayar, pemotongan gaji hendaklah selaras dengan Perintah Pekerjaan 2009, pekerja yang bekerja pada hari kelepasan awam hendaklah diganti hari lain atau dibayar dua kali ganda dan pekerja berhak mendapat cuti tahunan bergaji, iaitu tidak kurang dari tujuh hari pada tahun pertama, jika telah berkhidmat dengan majikan yang sama sekurang-kurangnya selama tiga bulan.
Pemeriksaan tersebut dijalankan adalah untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.