BEIJING, 23 SEPT – Enam orang maut selepas sebuah kereta hilang kawalan dan merempuh basikal serta kenderaan lain di sebuah jambatan di wilayah Hunan, tengah China, awal pagi hari ini, kata polis.
Menurut polis, kereta berkenaan dilanggar dari belakang, menyebabkannya masuk ke laluan trafik yang datang dari arah bertentangan. Tujuh orang lagi cedera, kata polis.
Rakaman di media sosial China hari ini menunjukkan sebuah van besar berwarna putih meluru masuk ke lalu lintas dari arah depan dan melanggar kenderaan di Jambatan Lusong di bandar Zhuzhou.
Rakaman itu menunjukkan serpihan bertaburan di atas jalan raya dengan sekurang-kurangnya empat ambulans berada di tempat kejadian, menghalang lalu lintas.
Punca kemalangan masih dalam siasatan, menurut agensi berita Xinhua.
Kemalangan jalan raya yang membawa maut kerap berlaku di China, disebabkan oleh standard keselamatan yang longgar dan pemanduan yang tidak teratur. – AFP