YANGON, 3 JULAI – Pertempuran meletus berhampiran pusat tentera wilayah di utara Myanmar hari ini, menurut penduduk dan media tempatan, dalam apa yang merupakan serangan yang semakin meluas terhadap tentera junta.
Bunyi tembakan menggegarkan bandar Lashio di negeri Shan utara, yang menjadi pusat tentera timur laut, sejak lewat kelmarin, beritahu seorang penduduk kepada AFP.
“Sejak malam tadi, kami terdengar bunyi tembakan yang menyasarkan pusat tentera wilayah… kami tidak berani keluar,” kata mereka, yang enggan dikenali.
Pertempuran berlaku di luar bandar, kata seorang lagi penduduk kepada wartawan AFP, yang terdengar satu letupan melalui telefon.
Beliau berkata tentera telah menutup semua jalan masuk ke Lashio tetapi beberapa kedai di bandar itu masih dibuka.
Video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan sebuah bangunan kayu musnah dan sebahagiannya terbakar, dan media tempatan melaporkan enam orang awam terbunuh dalam serangan tersebut.
Lashio terletak di lebuh raya utama yang menghubungkan bandar kedua Mandalay ke wilayah Yunnan, China.
Semua penerbangan ke Lashio dari hab komersial Yangon telah dibatalkan sejak pagi Rabu, beritahu sumber lapangan terbang di Yangon kepada AFP, tanpa memberikan butiran lanjut. – AFP