Monday, July 28, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enam maut dihimpit dalam insiden rempuhan di kuil Hindu

    HARIDWAR, 27 JULAI – Enam orang maut dihimpit dalam rempuhan di sebuah kuil Hindu yang popular di negeri Uttarakhand, utara India hari ini, kata pegawai.

    Kejadian itu berlaku di tangga menuju ke kuil Mansa Devi di kota suci Hindu Haridwar, di tebing sungai Gangga dan menyebabkan ramai yang cedera.

    “Enam maut dan lebih 10 mangsa cedera dimasukkan ke hospital,” kata pegawai kanan polis bandar, Parmendra Dobhal, kepada AFP.

    Ketua Menteri Uttarkhand, Pushkar Singh Dhami berkata operasi bantuan dan menyelamat sedang dijalankan.

    “Saya sentiasa berhubung dengan pentadbiran tempatan tentang perkara ini dan pemantauan berterusan terhadap keadaan sedang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Kejadian rempuhan merupakan perkara biasa pada perayaan agama India.

    Pada Jun, kesesakan yang berlaku semasa perayaan Hindu di negeri pantai Odisha membunuh tiga orang dan mencederakan beberapa yang lain.

    Bulan sebelumnya, enam orang maut dihimpit di negeri barat Goa selepas beribu-ribu berkumpul untuk ritual berjalan di atas api.

    Manakala pada Januari, kira-kira 30 orang terbunuh dalam pergaduhan awal pagi di Kumbh Mela, sebuah perayaan terbesar Hindu di bandar utara Prayagraj. – AFP

    Antara yang cedera dalam insiden rempuhan di kuil dibawa ke sebuah hospital di Haridwar, India pada 27 Julai. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda