Enam maut tembakan di hospital

PRAGUE, 10 DIS – Seorang lelaki bersenjata membunuh dirinya hari ini selepas menembak mati enam pesakit di sebuah hospital di bandar timur Czech Ostrava, dalam apa yang digelar oleh perdana menteri sebagai ‘satu tragedi dahsyat.’

Penyerang menembak mati orang pada jarak dekat di wad trauma Hospital Fakulty di Ostrava, hab keluli yang terletak kira-kira 300 kilometer dari timur Prague.

Empat lelaki dan dua wanita terbunuh dalam serangan, yang berlangsung beberapa saat sahaja menurut polis. Dua orang lain cedera parah sementara orang ketiga mengalami kecederaan ringan.

Polis berkata mereka masih belum menentukan motif penyerang berusia 42 tahun dalam serangan tersebut.

“Saya diberitahu mangsa terbunuh adalah orang yang duduk dalam bilik menunggu wad trauma, nasib baik orang tidak ramai pada masa itu,” beritahu Perdana Menteri Andrej Babis kepada media tempatan.

Anggota bomba, pegawai polis dan paramedik berada di depan Hospital Teaching Ostrava selepas satu insiden tembakan di Ostava, Republik Czech kelmarin. – AP

“Lelaki bersenjata didakwa menembak pada jarak dekat, menyasarkan pada kepala dan leher.”

Penembak seterusnya melarikan diri dari tempat kejadian dalam kereta warna perak Renault Laguna, mendorong polis melancarkan usaha memburu besar-besaran dengan ratusan pegawai dan dua helikopter mengejarnya.

Lelaki itu membunuh dirinya dalam kenderaan apabila polis hampir-hampir menangkapnya di sebuah kampung yang terletak di barat laut Ostrava, kata ketua polis Tomas Kuzel.

“Kami mengenal pasti lelaki bersenjata dengan menggunakan kamera hospital. Kami menghantar dua buah helikopter, mengenal pasti keretanya dan apabila sebuah helikopter mendekati kereta, dia menembak dirinya di kepala,” beritahu Kuzel kepada wartawan.

Radio Czech mengenal pasti pembunuh sebagai seorang pekerja pembinaan dari daerah Opava. – AFP