KUALA LUMPUR, 16 FEB – Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, yakin bahawa inisiatif ‘Enam Negara, Satu Destinasi’ yang dicadangkan akan mengukuhkan status ASEAN sebagai hab pelancongan dengan memudahkan akses bagi pelancong antarabangsa dan merangsang sektor pelancongan serantau.
Beliau berkata inisiatif yang dicadangkan itu memfokus kepada peningkatan kemudahan rentas sempadan, memperkemaskan usaha promosi dan memperluaskan kesalinghubungan perjalanan rentas enam negara terlibat iaitu Brunei, Kemboja, Laos, Malaysia, Vietnam, dan Thailand, dengan rancangan untuk mengundang Singapura menyertainya.
“Saya yakin terdapat peluang besar dalam meningkatkan kerjasama pelancongan ini yang menjadi pemacu utama kepada hubungan ekonomi dan budaya bagi kedua-dua negara kita serta rantau ini.
“Bersama semangat ini, kita telah mencadangkan kerjasama di bawah inisiatif Enam Negara, Satu Destinasi untuk meletakkan rantau ini sebagai destinasi tunggal pelancongan yang mudah di akses.
“Saya yakin inisiatif ini akan menarik lebih ramai pengunjung dari luar rantau ini, meningkatkan perjalanan serantau dan menggalakkan pelbagai perhentian di enam negara perintis,” kata Paetongtarn, yang menyandang jawatan Perdana Menteri Menteri Thailand ke-31 sejak 16 Ogos 2024.
Paetongtarn, 38, berkata demikian dalam temu bual bertulis dengan Perkhidmatan Berita Antarabangsa (PBA) berhubung langkah yang sedang dipertimbangkan untuk memacu pelancongan rentas sempadan antara Malaysia dan Thailand serta meningkatkan pelancongan serantau. – Bernama
