BANGUI, 1 Mac – Penyerang tidak dikenali telah membunuh enam orang pekerja bantuan kemanusiaan termasuk seorang daripada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di barat laut Republik Afrika Tengah (CAR), menurut PBB semalam.
Misi badan dunia Minusca ‘mengutuk serangan yang membawa kepada kematian enam pekerja bantuan kemanusiaan termasuk seorang daripada UNICEF’ Ahad lalu di Markounda.
Markounda telah dibelenggu dengan keganasan sejak hujung tahun lalu tatkala Gerakan Kebangsaan bagi Pembebasan Afrika Tengah dan parti Revolusi dan Keadilan bergelut untuk menguasai negara.
“Kami amat berdukacita dan terkejut dengan kematian rakan sekerja kami serta lima pekerja pendidikan lain pada 25 Februari,” kata pengarah serantau UNICEF untuk barat dan tengah Afrika, Marie-Pierre Poirier.
“Kereta yang membawa pekerja bantuan kemanusiaan UNICEF dan lima yang lain, termasuk dua wanita, diserang oleh lelaki dari bekas pemberontak Seleka yang beroperasi di rantau itu,” beritahu penduduk Markounda, Cyrille Mbagaye kepada AFP menerusi telefon.
“Kami mengecam perbuatan yang tidak berperikemanusiaan ini ke atas pekerja bantuan kemanusiaan yang berada di sana untuk meningkatkan taraf kehidupan penduduk,” menurut kenyataan UNICEF.
Kira-kira 13 pekerja bantuan terbunuh di CAR tahun lalu dalam serangan yang sama, yang dipersalahkan ke atas pelbagai kumpulan bersenjata yang bertempur di wilayah.
Sebagai salah sebuah negara paling miskin di dunia, CAR telah bergelut untuk bangkit dari peperangan saudara yang bermula pada 2013 apabila Presiden Francois Bozize digulingkan oleh gabungan pemberontak Seleka. – AFP