Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 30 Ogos – Enam orang pelajar Darjah 6 dari dua buah sekolah gabungan iaitu Sekolah Ugama Benutan dan Sekolah Ugama Rambai telah diraikan di majlis khatam Al-Quran, kelmarin.
Majlis yang diadakan di Dewan Serba Guna, Sekolah Rendah Rambai Tutong itu dihadiri oleh tetamu khas dari Nazir Lawatan Jabatan Pengajian Islam, Tutong, Hajah Samsiah binti Haji Asmat.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Guru Besar Sekolah Ugama Benutan, Hajah Iman Nadhirah Hayat binti Muhd Pawe dan Pemangku Guru Besar Sekolah Ugama Rambai, Hajah Norhani binti Haji Saniah.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh tetamu khas dan diikuti dengan bacaan surah-surah oleh peserta khatam.
Ia kemudian diikuti dengan bacaan Takhtim daripada para pelajar perempuan dan Doa Khatam oleh salah seorang peserta khatam, Awang Muhd Haziq Qajdi bin Abdullah yang disusuli dengan Dikir Asy-Raqal oleh pelajar lelaki.
Tetamu khas seterusnya merenjis minyak wangi dan menyampaikan sijil kepada peserta-peserta khatam Al-Quran.
Majlis khatam Al-Quran bagi sekolah ini merupakan kali ketiga diadakan dan akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang sebagai projek tahunan pihak sekolah.
Adapun tujuan majlis ini diadakan adalah untuk menggalakkan para pelajar agar istiqamah dalam pembacaan Al-Quran dan pada masa yang sama dapat meningkatkan mutu bacaan mereka.