Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    6 pelajar perubatan Jepun sertai program pertukaran UBD

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Program Sekolah Perubatan Musim Panas Antarabangsa (ISMS) ke-15 telah dirasmikan oleh Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD), kelmarin.

    Majlis perasmian di Bangunan Lanjutan PAPRSB IHS, UBD, itu telah dirasmikan oleh Duta Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Yutaka Kikuta, selaku tetamu kehormat majlis.

    Program pertukaran pelajar tahunan yang diadakan dengan kerjasama Kagawa University, Japan itu telah memberi peluang kepada enam pelajar Universiti Kagawa yang mengambil jurusan perubatan untuk mengalami kehidupan pelajar di UBD serta mengenali budaya dan tradisi Brunei selain membina persahabatan antarabangsa, serta meningkatkan kemahiran klinikal dan komunikasi.

    Enam pelajar perubatan berkenaan adalah Kazuki Umachi, Misaki Takahashi, Naomi Urayama, Sakurako Okumura, Yui Fukui, dan Yuka Shiraishi.

    Seiring dengan komitmennya, UBD terus menyediakan pendedahan antarabangsa kepada pelajarnya bagi mendapatkan perspektif yang lebih baik tentang isu-isu global dan memupuk penghargaan terhadap budaya dan agama lain.

    Di majlis itu,  Dr Poh Hui Goh, salah seorang penyelaras Program ISMS ke-15, telah menekankan kepentingan program berkenaan dalam memperkaya pengalaman pertukaran pelajar, baik untuk UBD mahupun Universiti Kagawa.

    Manakala Dekan PAPRSB IHS, Profesor Kenneth Yuh Yen Kok di majlis perasmian itu antara lain menekankan kepentingan kerjasama yang berterusan ini.

    Program ISMS ke-15 merupakan kesinambungan yang membanggakan bagi kerjasama lama antara Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Kagawa.

    Semasa UBD menyambut ulang tahun ke-40, program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan akademik dan budaya, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan UBD dalam memupuk profesional penjagaan kesihatan yang kompeten secara global dan berbelas kasihan.

    Program ISMS terus memberikan pengalaman bermakna yang memperkaya kedua-dua institusi dan menyediakan pelajar untuk berkembang dalam dunia yang semakin saling berhubung.

    Tahun ini juga bertepatan dengan ulang tahun ke-40 UBD, yang menyambut empat dekad kecemerlangan dan Inovasi.

    Gambar beramai tetamu kehormat bersama tetamu khas yang lain dan pelajar dari kedua buah negara.
    Duta Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Yutaka Kikuta merasmikan program berkenaan.
    Enam pelajar perubatan Universiti Kagawa menyertai ISMS ke 15 di PAPRSB HIS, UBD – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN UBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda