MANILA, 31 Dis – Kira-kira enam orang pemberontak berhaluan kiri terbunuh dalam satu operasi penguatkuasaan undang-undang yang dikendalikan oleh tentera dan polis Filipina, baru-baru ini, menurut jurucakap ketenteraan semalam.
Ketua Pejabat Hal-Ehwal Awam Angkatan Bersenjata Filipina, Kolonel Noel Detoyato berkata pihak tentera dan polis telah melancarkan satu operasi penguatkuasaan undang-undang bersama di wilayah Negros Occidental, tengah Filipina bermula pada Khamis hingga Sabtu lalu, yang membawa kepada kematian enam orang pemberontak Tentera Baharu Rakyat (NPA) dan menahan 24 orang yang lain.
Detoyato berkata operasi bersama itu adalah bertujuan untuk melancarkan tangkapan ke atas 103 individu yang disasarkan, yang terlibat dalam aktiviti dadah haram di kawasan berkenaan.
Namun, dia berkata pasukan tersebut telah mendapati 30 orang daripada mereka adalah pengikut NPA. NPA merupakan pasukan bersenjata Parti Komunis Filipina yang ditubuhkan pada 1968.
Menurut jurucakap tentera, semasa operasi penguatkuasaan undang-undang itu, enam orang pemberontak NPA menentang penangkapan itu dan berbalas-balas tembakan dengan tentera dan polis kerajaan, telah terbunuh.
Hampir 65 senjata api telah dirampas semasa operasi itu.
Tentera Filipina berkata NPA memiliki keanggotaan kira-kira 4,000 orang. Pasukan pemberontak itu telah menentang kerajaan sejak 1969, salah satu pemberontakan paling lama bertahan di Asia.
Kerajaan Filipina telah mencuba untuk mewujudkan perdamaian bersama pemberontak berhaluan kiri sejak 1986 namun rundingan kerap kali tertangguh.
Pentadbiran Duterte telah menolak rundingan untuk menyelesaikan pemberontakan berusia 50 tahun itu dan mengisytiharkan ‘perang berskala besar’ ke atas pasukan pemberontak yang cuba menggulingkan kerajaan selama lima dekad. – Xinhua