Friday, November 15, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enam set generator elektrik Sabah, Labuan beroperasi penuh Mei ini

    SANDAKAN, 29 MAC – Pengoperasian sepenuhnya enam set generator sewaan yang menjana 93 megawatt (MW) tenaga elektrik ke grid elektrik negeri pada Mei ini diharap membantu menstabilkan bekalan elektrik seterusnya menghentikan catuan di Sabah serta Labuan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Mohd Yaakob Jaafar, berkata tambahan penjana elektrik itu akan menjadikan kapasiti bekalan tenaga meningkat kepada lebih 1,300 MW dan seterusnya memberi margin simpanan tenaga lebih baik kepada sistem grid.

    “Hari ini saya telah mengadakan tinjauan untuk melihat sendiri kerja-kerja pemasangan terhadap tiga set generator yang terletak di Sandakan, sebagai makluman pemasangan di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Mowtas telah pun siap dan beroperasi sepenuhnya dengan keupayaan menjana sehingga 10 MW tenaga elektrik.”

    “Bagaimanapun dua lagi set generator masih dalam proses penyiapan akhir dan dijangka akan beroperasi dalam tempoh terdekat, ketika berada di PPU Seguntor dan Stesen Janakuasa Labuk, saya melihat semua proses kerja-kerja adalah mengikut jadual seperti yang dirancang,” katanya di sini, hari ini.

    Menurutnya generator di PPU Seguntor itu akan membekalkan 10 MW tenaga elektrik, manakala tenaga berkapasiti 30MW dibekalkan dari Stesen Janakuasa Labuk.

    Dalam pada itu katanya tiga lagi set generator berkenaan terletak di Tawau, Lahad Datu serta Labuan.

    Katanya lagi, SESB berusaha memastikan kapasiti bekalan tenaga elektrik di Sabah dan Labuan terus dipertingkatkan untuk memenuhi permintaan pengguna yang bertambah. – Bernama

    Gambar fail ‘Stesen Janakuasa Mini’ SESB di Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Pulau Enoe, Labuan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda