Oleh Sim Y. H.
TUTONG, 4 OGOS – Enam buah syarikat telah dikenakan kompaun sepanjang Julai hasil daripada Operasi Bersepadu, Pemantauan dan Aduan Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong kerana didapati melanggar Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian 2021, (Penggal 30) iaitu membuang sampah di tempat awam.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Daerah Tutong, di sini, menyatakan bahawa dua buah syarikat telah dikenakan kompaun $1,000 dan empat buah syarikat lagi, dikenakan kompaun $2,000.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dan masyarakat umum disarankan memberikan kerjasama dan seharusnya peka mengenai kesalahan-kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30).
Jika gagal membayar denda berkenaan dalam masa tujuh hari daripada tarikh kompaun dikeluarkan maka syarikat berkenaan boleh dihadapkan ke mahkamah.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $2,000 dan tidak melebihi $10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.
Unit Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Tutong mengingatkan orang ramai, pihak syarikat dan pemilik premis perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan alam sekitar, khususnya di kawasan premis-premis perniagaan dan juga kawasan awam dengan tidak membuang, melonggokkan atau meninggalkan apa jua jenis sampah-sarap di tempat awam.

Semua di atas: Antara kesalahan yang dikesan. – Gambar serahan Jabatan Daerah Tutong

