Enam syarikat, tujuh individu didenda

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Enam buah syarikat dan tujuh individu telah dikenakan kompaun setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) semasa pemantauan rutin yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan JBBSB, syarikat dan indvidu-individu berkenaan didapati melakukan kesalahan meletak, melonggokkan dan membuang sampah seperti bekas bahan-bahan binaan, kayu-kayuan, pecahan lantai jubin, besi, puntung rokok dan sebagainya yang ditakrifkan sebagai sampah di tempat awam di kawasan Kampung Telanai, Jalan Tasek Lama, kawasan Kampung Anggerek Desa, Kampung Serusop, Kampung Kiulap dan sekitar Pusat Bandar.

Kenyataan menyatakan bahawa tiga buah syarikat dikenakan kompaun $500, tiga buah syarikat lagi dikenakan kompaun $200 manakala itu, enam orang individu dikenakan kompaun $100 dan seorang lagi dikenakan kompaun $300 dalam operasi berkenaan.

Individu-individu berkenaan adalah dikehendaki membayar kompaun dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, di mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000 manakala kesalahan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

JBBSB juga memperingatkan syarikat-syarikat pembinaan, orang ramai, pemilik-pemilik premis perniagaan serta pemilik atau penyewa bangunan untuk menguruskan pembuangan sampah-sampah perniagaan secara teratur dan bertanggungjawab.

Sebarang aduan dan perkongsian maklumat boleh disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang www.123.gov.bn atau e-mel [email protected]

ATAS & BAWAH: Sampah yang ditemui dibuang semasa pemeriksaan rutin oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.