BUJUMBURA, BURUNDI, 29 JULAI – Seramai enam tentera Burundi di bawah Misi Kesatuan Afrika di Somalia (AMISOM) terbunuh dalam serangan berhampiran Mogadishu, Somalia, lapor agensi berita Anadolu memetik seorang pegawai.
“Dipercayai kumpulan pengganas al-Shabaab menyerang tentera Burundi daerah Balad, terletak kira-kira 30 kilometer timur laut Mogadishu,” kata jurucakap angkatan tentera Burundi Kolonel Floribert Biyereke.
“Enam askar terbunuh di tempat kejadian, tiga lagi cedera parah, dua askar hilang,” katanya.
Serangan itu berlaku beberapa hari selepas enam termasuk dua pesuruhjaya daerah terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri di bangunan kerajaan di ibu negara negara itu.
Kumpulan militan al-Shabaab yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, berpangkalan di Somalia mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.
Dengan kekuatan 22,000 tentera, AMISOM adalah misi pengaman yang aktif, di bawah mandat Kesatuan Afrika dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Ia ditubuhkan oleh Majlis Keselamatan dan Keamanan Kesatuan Afrika pada Januari 2007, dengan mandat awal selama enam bulan.
Kontinjen Burundi yang aktif di Somalia sejak 2007 adalah yang kedua terbesar dalam AMISOM seramai 5,432 anggota, selepas Uganda dengan lebih 6,000 tentera. – Bernama