Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Enam terima anugerah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Enam orang pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) telah menerima anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence daripada kerajaan Australia pada majlis yang julung kalinya berlangsung secara dalam talian, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany Anne McDonald, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pemerintah angkatan bersama, timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Pertahanan dan penasihat pertahanan Australia ke Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai kanan ABDB.

    Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, penerima anugerah berkenaan ialah 782 Mejar Pengiran Baharuddin bin Pengiran Haji Ali, 808 Mejar Haji Mohammad bin Haji Ahmad, 821 Mejar (U) Wan Muhammad Azem bin Haji Mohd Aminuddin, 824 Mejar Ahmad Bohare bin Mansor, 830 Mejar (U) Arif Shamirul bin Salleh dan 862 Mejar Khairul Faizin bin Haji Abdul Gapar.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Komandan Akademi Pertahanan ABDB, Leftenan Kolonel (U) Azmie Iskandar bin Ariffin, diikuti dengan ucapan daripada PYT Tiffany Anne McDonald.

    Puan Yang Terutama dalam ucapannya mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah dan menekankan kepentingan hubungan pertahanan sebagai salah satu tonggak utama hubungan dua hala, di mana Australia dan Negara Brunei Darussalam berkongsi kerjasama yang kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk pertahanan.

    Di samping itu, beliau turut memuji penglibatan Kementerian Pertahanan dan anggota ABDB atas peranan penting mereka dalam menyokong keseluruhan tindak balas kerajaan terhadap COVID-19.

    Enam pegawai ABDB menerima anugerah OBOE Endeavour Academic Excellence daripada kerajaan Australia secara maya. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda