Enam terima Sijil Masyarakat Berjasa

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menerusi Cawangan Operasi F telah menyampaikan Sijil Masyarakat Berjasa kepada enam orang penerima atas tindakan pantas mereka memadamkan kebakaran dalam dua kejadian kebakaran yang berasingan sebelum anggota bomba sampai di tempat kejadian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, hari ini, majlis penyampaian Sijil Masyarakat Berjasa berkenaan berlangsung di Balai Bomba Jerudong, kelmarin.

Kenyataan menyatakan bahawa tindakan pantas mereka yang diraikan dalam majlis berkenaan, telah berjaya untuk memadamkan kebakaran daripada merebak dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering dan karbon dioksida serta air.

Pada majlis berkenaan, Sijil Masyarakat Berjasa yang pertama disampaikan oleh Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi F, ASFR Awang Suhaimi bin Haji Muhammad kepada Haji Tudin bin Haji Tunggal bersama dua orang anak beliau.

Manakala itu, Sijil Masyarakat Berjasa yang kedua disampaikan oleh Stesen Komander Balai Bomba Jerudong, ASFR Haji Hassan bin Haji Jamuddin kepada tiga orang pekerja Restoran Raziqin Sengkurong.

Turut hadir semasa penyampaian sijil berkenaan ialah Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi F, Pemangku SSFR Haji Nordin bin Haji Buntan dan pegawai Unit Perhubungan Awam Operasi F.

JBP dalam kenyataan berkenaan turut menyarankan orang ramai untuk terus mengambil langkah-langkah keselamatan di rumah dengan memastikan ia dilengkapi dengan peralatan keselamatan iaitu alat pemadam api yang bersesuaian, selimut api dan alat pengesan asap serta menutup suis mana-mana peralatan elektrik selepas digunakan.

Kenyataan juga menyatakan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, orang awam hendaklah menghubungi terus JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Pemangku SSFR Haji Nordin, ASFR Awang Suhaimi dan ASFR Haji Hassan bergambar ramai dengan para penerima sijil yang diraikan dalam majlis yang berlangsung di Balai Bomba Jerudong, kelmarin. – Gambar serahan JBP