Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Rombongan enam orang yang mewakili ejen-ejen pelancongan di negara ini, pagi tadi, telah berlepas ke Perak, Malaysia bagi menyertai ‘Familiarization Trip’ ke Perak anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Royal Brunei Airlines (RB).
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada rombongan ialah Pengarah Malaysia Tourism di Negara Brunei Darussalam, Haji Ibrahim Seddiqi Talib.
Wakil-wakil ejen pelancongan yang menyertai lawatan berkenaan adalah dari Anthony Tours and Travel Agency Sdn Bhd, Darussalam Holdings Sdn Bhd, Freme Travel Services, Pan Bright Travel Service, At-Taqwa Travel Tours dan Century Travel Centre Sdn Bhd serta wakil RB dan juga Tourism Malaysia di Brunei Darussalam.

Haji Ibrahim semasa ditemui pihak media menyatakan, lawatan berkenaan akan memberikan peluang kepada ejen-ejen pelancongan tempatan untuk mengambil bahagian di samping menerokai dan memperkenalkan kepada orang ramai tempat-tempat pelancongan yang menarik.
Beliau menjelaskan lagi bahawa pada Jun ini, Perak akan membukakan taman tema baru iaitu ‘Movie Animation Park Studios’ yang diharap akan dapat menarik lagi pelancong dari Brunei ke Perak.
Sepanjang lawatan empat hari sehingga 4 Mei itu, rombongan akan berpeluang melawat ke tempat-tempat menarik seperti Go Chin Pemola Nature Park, Galeri Sultan Azlan Shah, Masjid Ubudiah, Ipoh Old Town, Gerbang Malam dan banyak lagi.