PARIS, 21 NOV – Kaum wanita yang mengalami keadaan seperti endometriosis atau ketumbuhan dalam rahim mempunyai risiko kematian lebih awal sebelum usia 70 tahun, menurut satu kajian besar yang berpusat di Amerika Syarikat (AS), hari ini.
Satu daripada 10 wanita di seluruh dunia menderita endometriosis, penyakit kronik di mana tisu yang serupa dengan lapisan rahim tumbuh di luar rahim.
Sehingga satu perempat wanita dipercayai mempunyai ketumbuhan bukan kanser dalam rahim yang dikenali sebagai fibroid rahim.
Walaupun ramai yang mengalami kondisi ini, kedua-duanya dianggap kurang dikaji, dengan sesetengah pihak menyalahkan institusi perubatan yang sebelum ini lebih menumpukan kepada lelaki sehingga mengabaikan masalah kesihatan yang mempengaruhi wanita.
Penyelidikan terdahulu telah mengaitkan kedua-dua keadaan itu dengan peningkatan risiko penyakit yang berpotensi membawa maut, termasuk penyakit jantung dan beberapa jenis kanser.
Kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal BMJ menganalisis data lebih 110,000 wanita di AS yang kesihatannya dipantau setiap dua tahun sejak 1989.
Walaupun pemerhatian itu gagal membuktikan secara langsung sebab dan akibat, para penyelidik mendapati pesakit yang mempunyai satu atau kedua-dua keadaan itu mempunyai risiko kematian lebih awal sebelum umur 70 tahun.
Ini kerana pesakit lebih berkemungkinan mendapat masalah kesihatan lain yang dicadangkan oleh kajian sebelumnya, menurut kajian tersebut. – AFP