Thursday, December 26, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Endoskopi bantu pemeriksaan sakit abdomen kanak-kanak

    PETALING JAYA – Endoskopi merupakan prosedur bukan pembedahan yang membolehkan pakar perubatan memeriksa secara visual organ dalaman seseorang menggunakan endoskop iaitu kamera berbentuk tiub panjang, nipis dan lentur dengan lampu di hujungnya.

    Pakar Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Dr Nazrul Neezam Nordin berkata endoskopi untuk kanak-kanak boleh dilaksanakan bagi mengesan punca kesakitan bahagian abdomen yang tidak dapat dijelaskan, berulang dan berterusan
    selain mengenal pasti kondisi tertentu.

    Beliau berkata walaupun mana-mana prosedur perubatan yang dijalankan terhadap kanak-kanak boleh memberi tekanan kepada mereka, endoskopi adalah prosedur yang pantas dan tidak menyakitkan memandangkan sedatif yang mencukupi akan diberi.

    “Terdapat dua jenis endoskopi untuk kanak-kanak iaitu endoskopi atas atau lebih dikenali sebagai gastroskopi dan endoskopi bawah atau kolonoskopi,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.

    Dr Nazrul Neezam yang juga pakar gastroenterologi dan hepatologi berkata bagi prosedur gastroskopi, endoskop akan dimasukkan dari mulut ke dalam saluran penghadaman bagi memeriksa bahagian atas usus pesakit.

    Dr Nazrul Neezam Nordin dalam temu bual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini. – Bernama
    Gambar Freepik

    Beliau berkata prosedur berkenaan akan dijalankan jika kanak-kanak itu mengalami simptom berterusan iaitu muntah yang tidak dapat dijelaskan atau muntah berulang serta muntah yang dikaitkan dengan simptom amaran seperti muntah berdarah.

    “Untuk gastroskopi, ia merupakan prosedur mudah yang memerlukan kanak-kanak berpuasa sekurang-kurangnya enam jam sebelum menjalani prosedur. Lazimnya, akan mengambil masa lima hingga 10 minit bergantung pada kes.

    “Kadangkala ia boleh mengambil masa yang lama, namun secara purata antara lima hingga 10 minit,” katanya.

    Dr Nazrul Neezam berkata prosedur kolonoskopi pula melibatkan pemeriksaan kolon atau usus besar, dengan endoskop atau kolonoskop khususnya dimasukkan melalui dubur.

    Beliau berkata prosedur itu mampu mengesan simptom berkaitan sakit pada bahagian abdomen yang teruk sehingga menjejaskan aktiviti harian dan ia juga mengesan sakit perut dikaitkan dengan cirit-birit berpanjangan terutama yang melibatkan penurunan berat badan.

    “Sebelum prosedur kolonoskopi, kanak-kanak biasanya akan dimasukkan ke wad dan seterusnya diberikan ubat untuk membolehkan mereka membuang air besar. Ini untuk membersihkan usus mereka daripada najis dan membolehkan prosedur yang selamat serta pemeriksaan usus dibuat dengan jelas.

    “Kolonoskopi mengambil masa yang lama memandangkan secara teknikalnya ia lebih mencabar berbanding gastroskopi. Prosedur biasa mengambil masa antara 15 hingga 45 minit,” kata Dr Nazrul Neezam.

    Beliau berkata tiada sekatan pemakanan selepas menjalani prosedur itu, namun secara umumnya, pesakit boleh mula dengan mengambil makanan lembut dahulu sebelum makanan pepejal kerana dalam sesetengah kes, kesan ubat bius masih ada, tetapi segalanya bergantung mengikut kes tertentu.

    Meskipun begitu, katanya, ibu bapa perlu berwaspada terhadap tanda tertentu selepas prosedur, khususnya sakit pada bahagian abdomen berserta kembung perut akibat risiko perforasi usus walaupun ia jarang sekali berlaku.

    “Kembung perut dijangka berlaku memandangkan usus mengembung oleh udara semasa prosedur,” katanya yang berpengalaman 12 tahun dalam bidang berkenaan.

    Ditanya mengenai risiko prosedur berkenaan, Dr Nazrul Neezam memberi jaminan bahawa ia sangat jarang berlaku. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda