KUALA LUMPUR, 22 Jan – Syarikat teknologi penjagaan kesihatan Australia, Energesse, meluaskan operasinya di Malaysia selepas berjaya menembusi pasaran United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Energesse ditubuhkan pada 2012 oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Avnesh Ratnanesan, seorang rakyat Malaysia.
Beliau berkata antara penyelesaian Energesse bagi pasaran Malaysia ialah platform perisian ‘Membership Engagement Services (MES) Experience’ yang mengumpul laporan dan maklum balas pesakit dalam masa nyata.
Langkah ini membolehkan pekerja barisan hadapan mengendalikan aduan dan mengambil tindakan dengan cepat.
Teknologi tersebut menggunakan algoritma pembelajaran mesin PanSensic yang Canggih dan boleh menganalisis trend antaranya dari segi sikap dan komunikasi.

“Ini membolehkan pekerja barisan hadapan memahami isu dengan terperinci dan melakukan penambahbaikan yang berkesan untuk pesakit, pengguna dan keluarga mereka,” kata Dr Avnesh kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata Energesse telah menerima pembiayaan daripada dana pelaburan swasta Malaysia.
“Kami dalam peringkat perbincangan dengan pihak berkepentingan dan eksekutif kanan hospital swasta Malaysia pada masa ini.
“Mereka telah meminta cadangan tentang bagaimana perkhidmatan teknologi kami boleh dilaksanakan di hospital mereka,” katanya.
Menurut Dr Avnesh, Energesse akan memperkenalkan penyelesaian teknologi yang telah membantu organisasi dalam pasaran maju untuk mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti rawatan penjagaan kesihatan. – Bernama