KUALA LUMPUR, 15 MEI – Forum Energy Asia 2025 edisi kedua akan memberi tumpuan kepada isu geopolitik dan landskap makro yang melibatkan industri tenaga, kata Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Pengurus Besar Kanan Komunikasi dan Hubungan Strategik (Tenaga Asia dan Strategik, Pentadbiran dan Tadbir Urus) Kumpulan Petronas Datin Arni Laily Anwaruddin berkata forum itu turut membincangkan mengenai teknologi dan kewangan melibatkan industri.
“Saya berpendapat perkara penting mengenai Energy Asia merupakan sokongan yang kita perlukan.
“Ia bukan hanya mengenai Petronas atau penggubal dasar, ia mengenai penggubal dasar, ahli akademik dan pelajar bersama-sama berbincang untuk melihat bagaimana kerjasama ini boleh membawa manfaat.
“Kami memerlukan semua pihak dan semua topik ini penting bagi memastikan Energy Asia memberikan hasil dan peralihan tenaga yang berkesan bagi Asia,” katanya kepada pemberita selepas majlis ‘Petronas’s Lunch Escape: Road to Energy Asia’ hari ini.
Edisi kedua Energy Asia 2025 itu merupakan anjuran bersama Petronas dan CERAWeek oleh S&P Global. Edisi pertama diadakan pada 2023.
Ia dijadualkan berlangsung bermula 16-18 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sementara itu, Energy Asia berperanan sebagai pemangkin bagi memacu misi bersih sifar di rantau ini dengan menghimpunkan penggubal dasar, peneraju industri dan profesional bidang tenaga bagi mencari penyelesaian untuk peralihan tenaga yang adil serta bertanggungjawab. – Bernama
