PUTRAJAYA, 8 FEB – Siasatan awal Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati produk penyedut hidung atau energy stick bukan keluaran berdaftar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata pemantauan serta tindakan penguatkuasaan akan dijalankan terhadap mereka yang menjual produk berkenaan secara dalam talian disyaki tidak berdaftar.
“Hasil saringan awal di platform e-dagang seperti Shopee dan Lazada, pihak KKM turut mengesan terdapat pengiklanan dan penjualan produk tersebut oleh penjual tempatan dan luar negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk berkenaan diturunkan.
Dr Muhammad Radzi berkata penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Beliau berkata pengguna perlu memastikan produk kesihatan yang dijual mempunyai pelekat hologram dan nombor pendaftaran produk (MAL) sebelum membeli produk berkenaan. -Bernama


