Ahad lalu menjadi hamparan terakhir 2023, sebelum 2024 menguak tirai.
Ada menyimpul kenangan manis, tidak kurang juga berdepan episod kehilangan, perpisahan, kegagalan dan pelbagai perkara yang membekas dalam hati.
Bagi pelakon dan pelawak, Bell Ngasri, 2023 disifatkan tahun bertuah apabila diangkat sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35.
Tidak cukup kemenangannya di acara berprestij ABPBH 35, rezeki bapa tiga cahaya mata terus melimpah ruah apabila dihadiahkan kereta Mini Cooper bernilai RM200,000.
Bukan itu sahaja, rezekinya semakin melimpah ruah apabila diundang menjayakan pelbagai kempen dan iklan termasuk drama serta filem.

“Tahun 2023 cukup bermakna buat saya dengan pelbagai kejayaan dan kemanisan yang dikecapi.
“Kalau boleh masa dipanjangkan, saya tak mahu 2023 berakhir. Biarlah masanya dipanjangkan lagi.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerjaya dihargai, bukan sekadar meraih sokongan luar biasa, malah terbukti ramai juga sayangkan saya,” katanya kepada BH Online.
Bell memulakan kerjaya seni sejak berusia 4 tahun berkata, bukan dirinya sahaja, malah keluarga termasuk isteri, anak-anak, ibu bapa dan adik beradik sangat teruja dengan pengiktirafan diterima.
Bagaimanapun, Bell berharap sokongan peminat akan berkekalan sampai bila-bila, bukan bermusim.
“Sudah tentunya saya mengharapkan sokongan berterusan daripada penyokong.
“Saya bukan ingin mengejar populariti, tapi semua yang saya lakukan untuk menggembirakan hati peminat.
“Dalam apa sahaja perkara yang dilakukan, tak pernah sekalipun saya fikir untuk kejar anugerah, niat saya nak hiburkan peminat.
“Sebab itulah saya turut terima naskhah cerita rakyat seperti Nujum Pak Belalang dan Pak Pandir. Ini kerana saya tahu golongan kanak-kanak turut mengundi saya,” katanya yang akan muncul dengan program sendiri berjudul Yak Yak Yeah! – Agensi