Enggan divaksin, lelaki guna lengan palsu

ROM, 3 DIS – Seorang lelaki Itali yang ingin sijil vaksin koronavirus tanpa menerima suntikan cuba memperdaya sistem dengan menunjukkan lengan palsu kepada pekerja kesihatan, kata pegawai hari ini.

Meskipun warna kulit yang realistik, tidak ada sesiapa yang terpedaya dengan tangan silikon itu dan lelaki berkenaan, dalam umur 50an, dilaporkan kepada polis tempatan berikutan insiden pada malam semalam di Biella, barat laut Itali.

“Kes itu hampir tidak masuk akal,” kaya ketua kerajaan serantau Piedmont, Albert Cirio dalam satu kenyataan di Facebook.

Beliau berkata perbuatan sedemikian ‘adalah tidak dapat diterima berdasarkan pengorbanan yang telah dilakukan oleh seluruh komuniti semasa pandemik, dari segi nyawa manusia, kesan sosial dan ekonomi.’

Insiden lengan palsu itu berlaku sebelum peraturan diperketat pada Isnin di Itali untuk golongan yang masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19.

Sejak Ogos, ‘Pas Hijau’ yang menunjukkan bukti vaksinasi, sembuh daripada koronavirus atau ujian negatif diwajibkan untuk makan dalam restoran, mengunjungi muzium, pawagam dan menyaksikan acara sukan.

Namun bermula 6 Disember, aktiviti berkenaan akan dihadkan kepada pemegang ‘Pas Hijau Super’, yang hanya diberikan kepada mereka yang telah divaksin atau sembuh dari COVID-19 baru-baru ini.

Pas Hijau lama dilanjutkan pada Oktober untuk merangkumi semua tempat kerja, masih sah untuk tujuan ini, bermakna mereka yang belum menerima vaksin masih boleh pergi bekerja dengan menunjukkan ujian negatif terbaharu. – AFP