Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Engku Emran, Erra Fazira bangga anak raih 7A

    Bekas suami kepada primadona popular Malaysia, Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang anak tunggal mereka, Engku Aleesya, 16, yang berjaya meraih keputusan 7A dalam peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE).

    Menerusi hantaran di media sosial, Engku Emran berkongsi penghargaan penuh emosi terhadap kejayaan Aleesya, sekali gus mengimbas kembali pengorbanannya sebagai seorang bapa sejak 11 tahun lalu.

    “Ini adalah penghargaan buat satu-satunya anak saya, Aleesya. Terima kasih kerana membuat hati saya dipenuhi rasa bangga dan gembira yang tidak terhingga,” tulisnya.

    Menurut Engku Emran, dia telah menumpukan sebahagian besar hidupnya untuk memastikan anak perempuannya itu cemerlang dalam pelajaran.

    “Selama 11 tahun persekolahan kamu, saya tidak pernah terlepas satu pun acara sekolah yang kamu sertai.

    Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian cemerlang anak tunggal mereka. – Utusan Malaysia

    “Saya hadir setiap sesi pertemuan ibu bapa, bersorak untuk setiap larian kamu, semuanya atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab sebagai seorang ayah,” katanya.

    Selain itu, Engku Emran turut menceritakan detik-detik sukar yang dilalui bersama Aleesya termasuk sesi ulang kaji sehingga lewat malam dan menempuh kesesakan lalu lintas untuk kelas tambahan.

    “Hari ini kamu buktikan segala pengorbanan itu tidak sia-sia. Terima kasih Aleesya kerana menjadikan hari ini hari paling bermakna dalam hidup saya.

    “Tahniah atas 7A, anak ayah! Alhamdulillah. Kekal merendah diri dan jangan lupa asal usul,” katanya menurut Utusan Malaysia.

    Terdahulu, Erra juga ada membuat ucapan tahniah kepada puteri tunggalnya itu di media sosial selain berbangga dengan pencapaiannya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda