ATHENS, 15 NOV – Lee Carsley mendakwa kemenangan England 3-0 ke atas Greece menunjukkan kekuatan kedalaman pasukan yang akan dinantikan oleh Thomas Tuchel apabila dia mengambil alih tugas sebagai jurulatih.
England berhadapan dengan beberapa pemain yang menarik diri sebelum perlawanan Liga Negara-Negara di Athens kelmarin. Namun, pasukan kendalian Carsley berjaya mengatasi ketiadaan pemain utama untuk terus menghidupkan harapan mereka naik ke peringkat teratas kejohanan tersebut.
Bukayo Saka, Phil Foden, Trent Alexander-Arnold dan Phil Foden adalah antara sembilan pemain yang menarik diri daripada dua perlawanan terakhir England pada 2024 di tengah-tengah spekulasi mengatakan mereka didorong oleh pengurus kelab masing-masing untuk tidak menyertai perlawanan itu.
Kapten England, Harry Kane melancarkan kritikan keras terhadap pemain yang menarik diri, menegaskan bahawa tanggungjawab mewakili negara sepatutnya diutamakan berbanding perkara lain.
Kane, secara mengejut, digugurkan ke bangku simpanan oleh pengurus sementara, Carsley selepas kritikan yang luar biasa daripadanya, tetapi England tetap tenang.
Pengganti Kane, Ollie Watkins memberikan mereka gol pendahuluan awal sebelum penjaga gol Greece, Odysseas Vlachodimos menepis rembatan Jude Bellingham ke gawangnya sendiri.
Jaringan Curtis Jones melalui tendangan belakang melengkapkan kemenangan yang meletakkan England di tangga teratas Kumpulan B2 Liga Negara-Negara.
Mereka dijamin akan meraih promosi ke Liga A dengan kemenangan ke atas Ireland di Wembley pada Ahad.
Namun, Carsley lebih fokus untuk menekankan pelbagai kualiti hebat yang akan diwarisi oleh bekas pengurus Bayern Munich, Tuchel, apabila beliau akhirnya mengambil alih pada 1 Januari.
“Ia penting supaya para pemain bermain mengikut kekuatan mereka. Kami mempunyai banyak bakat yang luar biasa,” kata Carsley.
“Untuk pemain yang tidak berada di sini, kami memberi tumpuan kepada mereka yang ada,” tambahnya. – AFP