LONDON, 1 OGOS – England pada Ahad muncul juara Euro Wanita UEFA selepas menewaskan Jerman 2-1 selepas masa tambahan di Stadium Wembley, London, sekali gus membawa pulang trofi itu buat julung kalinya, lapor Xinhua.
Jerman mengalami tamparan hebat beberapa minit sebelum perlawanan akhir apabila kapten mereka Alex Popp terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan semasa sesi memanaskan badan.
Penyerang berusia 31 tahun itu menjaringkan gol dalam semua lima perlawanan sebelumnya dalam kejohanan itu dan menjaringkan gol kemenangan 2-1 semasa bertemu Perancis di separuh akhir pada Rabu. England, yang mara ke final Euro buat kali ketiga, tidak dapat memecahkan kebuntuan sehingga Ella Toone bangkit dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-62.
Namun, pemain tengah Lina Magull membantu Jerman menyamakan kedudukan pada minit ke-79. Kedudukan 1-1 kekal sehingga minit ke-110 apabila pemain gantian Chloe Kelly menja-ringkan gol pertamanya untuk pasukan England. Ketua Jurulatih England, Sarina Wiegman berkata kemenangan cemerlang di hadapan 87,192 penonton di stadium itu disebabkan sokongan daripada peminat bola sepak England.
“Sepanjang kejohanan berlangsung, kami mendapat sokongan yang begitu padu daripada peminat kami. Saya sangat berbangga dengan pasukan ini.” – Bernama
