Selasa, Julai 29, 2025
33 C
Brunei

    Berita Terkini

    England juara Euro Wanita 2025

    BASEL, 28 JULAI – Chloe Kelly menjaringkan sepakan penentuan ketika England menewaskan Sepanyol 3-1 menerusi penalti untuk menjulang trofi Euro Wanita 2025 selepas perlawanan berakhir 1-1 sehingga tamat masa tambahan, sekali gus membolehkan Lionesses menebus kekalahan mereka dalam perlawanan akhir Piala Dunia dua tahun lalu dan mempertahankan gelaran benua mereka.

    Ia kelihatan seolah-olah Sepanyol akan mengulangi kemenangan ke atas England di Sydney pada 2023 apabila mereka menguasai permainan di St Jakob-Park, Basel dan mendahului menerusi tandukan Mariona Caldentey pada separuh masa pertama.

    Namun England tidak panik, setelah mereka ketinggalan menentang Sweden sebelum ini di suku akhir dan Itali di separuh akhir sebelum kembali bangkit meraih kemenangan.

    Alessia Russo menyamakan kedudukan menerusi tandukan sebelum masuk minit ke-60 dan tiada jaringan tambahan membawa kepada penentuan penalti, di mana Kelly – sekali lagi memberikan impak besar dari bangku simpanan – menyempurnakan sepakan kemenangan. “Saya tenang, saya yakin. Saya tahu bola itu akan masuk,” kata Kelly kepada BBC mengenai jaringannya dari sepakan penalti.

    Ia merupakan kekalahan yang cukup menyakitkan buat Sepanyol, disebabkan kegagalan mereka menjaringkan tiga daripada empat sepakan penalti, termasuk percubaan pemenang Ballon d’Or, Aitana Bonmati yang berjaya diselamatkan.

    Skuad bimbingan Sarina Wiegman kini meraih gelaran Eropah dua kali berturut-turut, dengan kejayaan kali ini hadir tiga tahun selepas kemenangan mereka ke atas Jerman dalam masa tambahan di Wembley, yang juga kejayaan sulung England dalam kejohanan utama wanita.

    Kemenangan ke atas Sepanyol itu sedikit sebanyak mengubat luka kekalahan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2023 dan turut mengukuhkan kedudukan Wiegman dalam kalangan jurulatih hebat dunia.

    Beliau kini telah memenangi tiga kejohanan Eropah berturut-turut – bermula bersama pasukan kebangsaan Belanda pada 2017, sebelum membawa England meraih kejuaraan tiga tahun lalu.

    “Kami berkata kami boleh menang dengan apa jua cara dan hari ini kami membuktikannya sekali lagi. Saya sangat bangga dengan pasukan dan barisan kejurulatihan. Ini benar-benar menakjubkan,” ujar Wiegman, yang pasukannya tewas kepada Perancis dalam perlawanan pembukaan kejohanan. – AFP

    Patricia Guijarro dan Georgia Stanway berebut bola dalam perlawanan akhir UEFA Euro Wanita 2025 antara England dan Sepanyol di Stadium St. Jakob-Park, Basel, pada 27 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda