LONDON, 28 MEI – England melancarkan sistem ‘uji dan jejak’ hari ini, senjata terbaharu yang digunakan dalam usaha menghentikan penularan koronavirus di salah sebuah negara paling teruk terjejas di dunia.
Setiausaha Kesihatan Matt Hancock berkata menjadi ‘tugas orang awam’ untuk mematuhi peraturan baharu yang berusaha menjejaki orang yang menghadapi risiko dijangkiti penyakit itu.
“Adalah amat penting untuk sesiapa yang mengalami gejala supaya menga-singkan diri dengan segera di rumah dan menjalani ujian dan tidak meninggalkan rumah,” beritahunya kepada radio BBC.
Di bawah sistem itu, sekumpulan 25,000 penjejak, disokong oleh 20,000 penguji dan 7,000 klinisian, akan menghantar teks, e-mel atau menelefon orang yang diuji positif dijangkiti virus dan bertanya siapa yang mempunyai kontak dengan mereka.
Sesiapa yang dipercayai menghadapi risiko jangkitan perlu mengasingkan diri, walaupun jika mereka tidak mempunyai gejala.
Untuk mereka yang diuji positif, seorang klinisian akan bertanya mereka siapa yang mempunyai ‘kontak rapat’ dengan mereka, yang juga akan diminta mengasingkan diri.
Kontak rapat dalam kes ini bermakna berada dua meter dengan seseorang selama 15 minit, atau satu meter berdepan di antara satu sama lain, kata Hancock.
Kerajaan berhasrat menjejaki kontak 10,000 orang sehari.
Skim itu bergantung pada orang yang mematuhi peraturan, tidak ada denda yang dikenakan ke atas mereka yang enggan, dan Hancock menafikan ia telah terjejas oleh tindakan Dominic Cummings. – AFP
