England menang bergaya 10-0

SERRAVALLE, SAN MARINO, 16 NOV – Gareth Southgate berkata kekuatan mentaliti England adalah kunci kepada kejayaan mereka untuk layak ke Piala Dunia apabila Harry Kane menjaringkan empat gol ketika menewaskan San Marino 10-0, kelmarin.

Memerlukan keputusan seri dalam perlawanan terakhir kelayakan Kumpulan I untuk mara ke kejohanan tahun depan di Qatar, England mengasak kubu lawan dan berjaya menjaringkan 10 gol dalam satu perlawanan buat kali pertama sejak perlawanan persahabatan menentang Amerika Syarikat pada 1964.

Keputusan itu disenaraikan sebagai kemenangan terbesar pasukan Three Lions dalam perlawanan kompetitif.

Harry Maguire meletakkan pasukan Southgate di hadapan lebih awal sebelum jaringan sendiri Filippo Fabbri menggandakan pendahuluan England.

Kapten England, Kane menjadi tumpuan ramai selepas itu, menjaringkan empat gol sebelum rehat untuk mencetak nama dalam buku rekod.

Pemain tengah Arsenal, Emile Smith Rowe menjaringkan gol antarabangsa senior pertamanya pada permulaan sulungnya.

Manakala, Tyrone Mings menanduk gol pertama England selepas pemain San Marino, Dante Rossi dilayangkan kad merah, sebelum Tammy Abraham dan Bukayo Saka melengkapkan kemenangan dan memecahkan rekod kebangsaan.

Kane menjaringkan 16 gol pada 2021 untuk England, mencipta rekod perlawanan untuk pasukan Three Lions apabila dia mengatasi jumlah 12 gol George Hilsdon pada 1908 dan Dixie Dean pada 1927.

Juara kumpulan, England menamatkan kempen kelayakan tanpa kalah dalam 10 perlawanan mereka. – AFP

Aksi pemain England, Harry Kane mengawal bola semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang San Marino kelmarin. – AFP